Saturday 28 April 2012

Bersama Syahir Yang Istimewa


Pagi tadi, bermula lah episod perkenalan saya dan Syahir yang istimewa. Memang dia adalah anugerah Allah yang sangat istimewa. Walau dia insan yang kurang sempurna, tapi pasti ada keistimewaan dalam dirinya. Setiap insan, Allah menganugerahkan keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Syahir adalah seorang kanak-kanak yang mengalami masalah autisme. Berumur 7 tahun. Dia seorang yang agak hiperaktif. Memang penat juga dibuatnya sesiapa yang melayannya. Saya telah di amanahkan oleh ibunya untuk mengajar syahir menulis. Memang sangat sukar untuk menyuruhnya memegang pensil apatah lagi untuk menulis. Namun begitu, apa yang membuat saya agak terperanjat adalah dia boleh membaca. Dan dia juga pandai membaca perkataan bahasa Inggeris. Sebutannya juga agak bagus meskipun pada awalnya saya agak sukar untuk memahami yang diucapkannya.  Dia juga seorang yang suka bercakap seorang diri. Kadang-kadang apa yang diucapkannya adalah skrip di dalam kartun yang ditontonnya. Antara ayat yang saya dapat tangkap adalah dia menyebut ' Dora The Explorer'. Memang geli hati melihat tingkahnya yang tidak boleh duduk diam. Penat saya bukan kerana mengajar tetapi mengejar dia. Huhu.

Dia memang sukar untuk memberi respon dengan apa yang saya minta. Mungkin kerana masalah dia yang memiliki masalah komunikasi yang terhad. Dan dia hanya memahami apabila saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Hal ini kerana, ibunya pernah tinggal di luar negara dan berkomunikasi dengannya dalam bahasa Inggeris. Di sini lah saya dapat meningkatkan my english skill communication walaupun dengan kanak-kanak kecil. Memang pada mulanya, saya tidak berkeyakinan untuk ber' speaking' dengan dia, namun atas desakan ini, saya berusaha juga untuk cuba ber'speaking' dengan Syahir. Banyak juga perkara yang saya belajar dengan Syahir ni. Hehe

Syahir juga lebih suka berada dalam dunianya sendiri seolah-olah saya tiada di sisinya. Jika sebelum ini saya hanya mengetahui teori tentang ini. Pada hari ini, saya dapat menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri tentang kanak-kanak autisme ini yang berada dalam dunianya sendiri. Ia menyebabkan sukar untuk saya mengalih perhatiannya. Saya telah mencuba pelbagai perkara untuk cuba menarik perhatiannya agar dia dapat belajar menulis. Namun,hanya sia-sia sahaja usaha saya itu. Huhu. Memang sangat memerlukan kesabaran yang tinggi.

Dia  juga sangat taksub dengan kertas. Jika dia dapat sehelai kertas dia akan mengoyak atau bermain-main dengan kertas itu. Oleh sebab itu, ibunya terpaksa mengunci bilik yang terdapat kertas di dalamnya. Apabila dia telah memperoleh sehelai kertas itu, dia akan leka bermain dengan kertas itu dan sukar untuknya melepaskan kertas itu. Kadang-kadang dia akan menangis atau mengamuk  jika ada sesiapa yang cuba merampas kertas itu daripadanya.

Syahir juga sering melakukan ' stimming' iaitu perlakuan merangsang diri sendiri kepada tingkah laku berulang-ulang tanpa tujuan tertentu. Contohnya, berjalan mundar mandir, bermain dengan jari, ketawa di luar konteks, menepuk dan lain-lain.

Setelah dua jam bersama Syahir, ibunya pulang bersama adik syahir yang lain yang mempunyai aktiviti di sekolah. Banyak juga perkongsian dari ibunya tentang anaknya yang istimewa ini. Antaranya, kadang-kadang kita perlu bertegas dalam mengajar mereka. Hal ini kerana sikap mereka yang suka berhelalah dan memberi alasan jika kita menyuruhnya melakukan sesuatu. Jika dilihat cara ibunya mengajar, memang agak tegas cara dia mendidik dan melatih anaknya yang istimewa. Apa yang saya dapat dari perkongsiannya adalah saya perlu lebih bertegas padanya untuk pertemuan yang akan datang.

Pengalaman pada hari ini sangat berharga. Memang ini adalah pertama kali saya bersama dengan kanak-kanak yang mengalami autisme. Ia telah mendorong saya untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang masalah ini. Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini.

No comments:

Post a Comment