Tuesday 1 May 2012

Dunia Teknologi dan Kanak-kanak

Dunia telah berubah fasa. Kita sekarang berada di dalam dunia teknologi maklumat. Tiada siapa boleh menafikan hakikat itu. Telefon bimbit telah menjadi satu keperluan pada hari ini. Komputer pula sudah dimiliki oleh kebanyakan rumah. Perkara ini memberi kesan dan implikasi kepada semua golongan termasuklah kanak-kanak. Kanak-kanak sekarang lebih advance dari kanak-kanak pada masa dahulu. Pelbagai gajet telah diterokai dan mereka pandai menggunakannya. Hal ini kerana, mereka telah dilahirkan dalam dunia yang  mengalami ledakan  teknologi pada hari ini.



Implikasi Komputer Kepada Pendidik Awal Kanak-Kanak
Penggunaan komputer yang bersesuaian memberi implikasi kepada pendidik kanak-kanak di taska dan tadika. Apabila penglibatan pendidik semakin aktif menggunakan teknologi komputer mereka perlu mendapat latihan dan khidmat sokongan yang berterusan. Tujuannya untuk melengkapkan diri membuat keputusan tentang komputer dan perisian yang akan digunakan oleh kanak-kanak di samping menyediakan persekitran pembelajaran yang berkesan dengan penggunaan komputer. Matlamat ini dapat dicapai menerusi latihan yang menyediakan maklumat asas dan kesedaran terhadap teknologi dan perisian komputer yang begitu cepat berkembang san sentiasa berubah. Latihan hendaklah menekankan penilaian perisian yang berhubung dengan perkembangan kanak-kanak.

Kerjasama Pendidik Dan Ibu Bapa Memastikan Perisian Komputer
Pendidik awal kanak-kanak di taska dan tadika perlu mendapat pengetahuan tentang perisian yang bersesuaian untuk digunakan oleh kanak-kanak. Adalah menjadi tanggungjawab bersama pendidik dan ibu bapa untuk membuat pilihan terbaik sebagai pengguna. Apabila ibu bapa dan pendidik telah terdidik dengan pemilihan bahan perisian komputer maklumat yang positif dan negatif tentang perisian dapat disampaikan kepada pengguna lain demi kebaikan kanak-kanak.

Komputer Sebagai Alat Bantu Pembelajaran Kanak-Kanak
Penggunaan komputer yang bersesuaian hendaklah digabungjalinkan dengan persekitaran pembelajaran yang biasa dan gunakan sebagai salah satu pilihan untuk membantu kanak-kanak belajar. Komputer perlu digunakan sebagai satu cara untuk membantu arah pendidikan yang sedia ada bukan mengantikannya. Oleh itu komputer mesti digabungjalinkan dalam amalan awal kanak-kanak secara fizikal, fungi dan falsafahnya. Maksud falsafah di sini ialah menepati matlamat dan tujuan penggunaannya.

Penggunaan Komputer Yang Bersesuaian Memupuk Keupayaan Kognitif Dan Sosial
Penggunaan teknologi termasuk komputer dapat memupuk keupayaan kognitif dan sosial. Komputer dapat menarik minat kanak-kanak terutama pada kesan bunyi dan grafik. Kanak-kanak kecil akan memerhati orang dewasa dan kanak-kanak lebih berusia menggunakan komputer dan kanak-kanak kecil berkeinginan melakukannya juga. Kanak-kanak berminat kepada komputer kerana mereka boleh membuat sesuatu perkara berlaku dengan mengunakan komputer. Perisian yang bersesuaian dapat memupuk kanak-kanak dalam permainan kreatif, menguasai pembelajaran, dan penyelesaian masalah. Kanak-kanak mengawal mengikut rentak masa dan tindakannya. Mereka boleh mengulangi proses atau aktiviti seberapa kerap dan membuat eksperimen menerusi pelbagai cara. Mereka juga boleh bekerjasama dengan rakan lain dan orang dewasa untuk membuat keputusan dan berkongsi penemuan dan rekacipta yang ditemui.

Perbandingan Komputer Dan Peralatan Pembelajaran Lain
Walau pun pada masa ini terdapat kajian yang menunjukkan komputer mempunyai kesan positif teknologi pada pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak, penyelidik masih menyatakan bahawa amalan, penyediaan komputer tidak dapat menggantikan nilai yang tinggi terhadap aktiviti awal kanak-kanak dan peralatan seperti lukisan, bongkah, pasir, air, buku, penerokaan dengan bahan peralatan, dan permainan dramatika. Kajian menunjukkan bahawa komputer boleh digunakan secara amalan yang bersesuaian untuk dimanfaatkan kepada kanak-kanak dan juga boleh disalahgunakan seperti peralatan lain. Oleh itu pendidik dan orang dewasa mesti menggunakan penilaian secara profesional dan menggunakan alat pembelajaran secara betul mengikut kesesuaian, mengaplikasikan ciri yang sama sebagaimana peralatan pembelajaran dan pengalaman lain. Pendidik dan orang dewasa perlu memberi pertimbangan terhadap kos teknologi dengan kos peralatan pembelajaran yang lain dan sumber program untuk membawa kepada keseimbangan yang sesuai di bilik darjah.

Peranan Orang Dewasa Dan Pendidik Menentukan Perisian Komputer
Orang dewasa dan pendidik perlu mengambil langkah dan bertanggungjawab terhadap pengaruh perisian komputer dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Terdapat beberapa kenyataan dan isu yang yang dibangkitkan berkaitan kemajuan teknologi komputer dengan kanak-kanak.
  • peranan orang dewasa/pendidik menilai kesesuaian penggunaan teknologi.
  • potensi kebaikan penggunaan teknologi dalam program pendidikan awal kanak-kanak.
  • kesepaduan teknologi dalam persekitaran pembelajaran
  • kemudahan untuk menggunakan teknologi kepada kanak-kanak.
  • unsur keganasan yang 'streo-type'
  • peranan ibu bapa dan pendidik menetapkan peraturan/undang-undang
Komputer Memberikan Pengalaman Yang Bersesuaian
Amalan yang bersesuaian bahan perisian komputer adalah terbuka dan penerokaan. Kanak-kanak mengawal program, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah menerusi cuba jaya untuk membuat perisian yang diingini. Perisian dimuatkan dengan persembahan yang konkrit tentang manusia, haiwan dan objek yang berfungsi secara realiti. Menerusi perisian penerokaan kanak-kanak menemui idea yang bernas tentang diri sendiri dan persekitarannya.

Pemilihan Bahan Perisian Komputer
Ramai ibu bapa tidak sedar penggunaan komputer tanpa menilai kandungan bahan perisian (software) akan meninggalkan kesan negatif kepada kanak-kanak. Ibu bapa jangan mudah terpengaruh dengan muka depan kulit yang tertera di bahan perisian. Cuba buat tinjauan kandungan bahan perisian dengan meneliti perkara berikut:
  • bahan grafik
  • kandungan
  • penyelesaian terbuka (open ended)
  • tahap cabaran
  • mesra pengguna
Pemilihan bahan perisian hendaklah disesuaikan dengan tahap usia kanak-kanak dan sesuai dengan nilai budaya. Elakkan memberi pendedahan dengan unsur keganasan. Didik kanak-kanak bahawa komputer hanya sebagai salah satu alat pembelajaran.

Komputer Mengurangkan Kreativiti Kanak-Kanak
Berdasarkan penyelidikan didapati penggunaan komputer boleh mengurangkan kreativiti kanak-kanak jika kanak-kanak menggunakan 'software' komputer secara latih tubi (drilland practice). Satu kajian dijalankan terhadap penggunaan 'software' latih tubi yang digunakan oleh kanak-kanak. Kajian ini telah dijalankan selama satu tahun di bilik darjah yang mempunyai kemudahan komputer digunakan tiga kali seminggu. Kanak-kanak mengalami penurunan 50 peratus dalam kreativiti skor. Tetapi sekiranya kanak-kanak menggunakan bahan terbuka (open-ended), 'software' yang bersesuaian adalah tidak menjejaskan kreativiti. Tidak semua pendidik dan ibu bapa mendapat pendedahan pemilihan bahan 'software' komputer yang bersesuaian untuk kanak-kanak. Pemilihan bahan dan memberikan bahan yang tidak bersesuaian mengakibatkan kesan negatif kepada kanak-kanak.

Mari sama-sama kita lihat video ini yang menggambarkan kanak-kanak zaman sekarang..

No comments:

Post a Comment