Tuesday 15 May 2012

Penceraian/ Masalah Rumah Tangga: Kesannya Kepada Emosi dan Tingkah Laku Anak-anak




Dua pengalaman yang amat menyedihkan dan paling menekan perasaan (stressful) dalam kehidupan  berkeluarga adalah kematian dan  perceraian. Jika pasangan yang bercerai mempunyai anak, keadaan akan menjadi bertambah rumit. Islam memang membenci perceraian meski hal itu dibolehkan.

Mengikut bancian Malaysian Family Life Survey tahun 1984, didapati hampir tujuh peratus  pasangan suami isteri bercerai. Kadar perceraian meningkat di kalangan pasangan yang telah lama mendirikan rumahtangga.

Bagi wanita yang baru bercerai, dunianya berubah sama sekali. Dia akan sering berasa kesunyian: kawan-kawan yang biasa mendampinginya mungkin tidak lagi serapat dahulu kerana tidak lagi mempunyai minat yang sama. Dia mempunyai banyak masa lapang dan perlu mencari cara untuk memenuhinya terutama sekali jika dia tidak bekerja. Jika dia mempunyai anak-anak pula, dia terpaksa menghadapi masalah menjaga dan memenuhi keperluan anak-anaknya tanpa bantuan seorang suami.
Wanita yang bekerja dan mempunyai anak pula terpaksa memain peranan sebagai seorang ayah di samping tugasnya sebagai ibu dan pekerja pejabat. Tetapi ciri-ciri seorang ayah tidak ada padanya. Tugasnya berat dan mencabar sekali! Seringkali, status ekonominya merosot selepas bercerai menyebabkan dia berasa sugul, marah, kurang yakin pada diri sendiri serta takut menghadapi masa depan. Jika dia tidak bekerja dan hanya mengharapkan nafkah bulanan yang mungkin tidak cukup untuk memenuhi keperluan diri dan anak-anaknya, dia berkemungkinan besar akan menghadapi tekanan emosi.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak memberi banyak tekanan kepada ibu yang baru bercerai.Jika dia mempunyai bayi dan anak-anak di peringkat prasekolah, dia terpaksa mengaturkan penjagaan bagi anak-anaknya supaya dia dapat bekerja, pergi pasar, kepejabat kadi atau ke tempat-tempat lain yang berkenaan. Dia perlu memastikan bahawa anak-anaknya yang masih bersekolah selesa mengikut pelajaran mereka dan anak-anak remajanya diawasi pergaulan mereka agar berdisiplin dan tidak terjerumus ke dalam kancah aktiviti anti-sosial

Peranan ayah dalam keluarga 
Seoarang ayah merupakan ketua keluarga. Dia adalah sebaik-baik contoh kepada anak-anak dengan segala sifat kebapannya. Pengalaman dan detik -detik yang dilalui bersama ayah mempengeruhi pembentukan akhlak anak -anak. Bayangkan betapa girangnya seorang anak apabila ayahnya mendodoi ,membelai , mencium dan menimangnya. Apabila dia terjatuh dan luka di kaki dia , akan berlari mendapatkan ayahnya. Si ayah akan mendokong serta memujuknya , membasuh luka dan melekatkan plaster. Dia akan berasa tenteram dan melupakan kesakitannya.

  Ayahnya juga tempat dia bermanja. Apabila dia mengeluh sakit perut , ayahnya akan menggosok -gosokkan minyak sehingga dia berasa lega kembali. Apabila dia jatuh sakit , ayahnya akan membawa dia ke klinik atau hospital. Ada masanya , ayahnya akan bermain -main dan bergurau senda dengannya pada petang hari dengan penuh kemesraan.

Ayahnya mungkin menghantarnya ke sekolah dan menjemputnya pulang dari setiap hari. Dia dibawa pergi membeli -belah , berkelah bersama keluarga dan juga melancong. Ayahnya akan membelikan hadiah sempena hari lahirnya atau membawanya menonton wayang gambar. Hari Raya merupakan hari yang amat bahagia bagi kanak -kanak. Seorang ayah akan membawa anaknya bersembahyang bersama -sama dan membawa seisi keluarga melawat saudara mara. Semua pengalaman ini tidak mungkin dilupakan oleh anak -anak terutamamya jika hubungan mereka dengan ayah begitu rapat sekali. Walaupun ibulah yang memang lebih sering bersama anak -anak , belaian kasih seorang ayah tidak ternilai harganya dan kemungkinan tidak lagi dapat dinikmati sepenuhnya oleh anak -anak selepas perceraian. Kanak -kanak tidak tahu mengapa ibu bapa mereka mesti bercerai. Mereka biasanya kebingungan. Saudara mara terdekat seperti datuk, nenek, bapa saudara dan para profesional yang arif boleh membantu  mereka melalui detik-detik mencabar ini dan seterusnya mengurangkan sedikit kesedihan dan kepedihan hati. Apabila ibu bapa bercerai dan anak ditinggalkan dibawah jagaan ibu, perasaan rindu anak itu terhadap ayahnya sering dirasai. Dia berasa tersingkir dan marah terhadap ibu bapanya. Dia merasakan bahawa jika ibunya sanggup memutuskan perhubungan dengan bapanya, tidak mustahil ibunya sendiri boleh menyingkirkannya juga. Perasaan ini mungkin merunsingkan fikirannya dan boleh meninbulkan pelbagai reaksi dan tingkah laku yang tidak diingini yang boleh menambahkan lagi tekanan kepada ibu.

Kesan terhadap kanak-kanak 
 Di luar negeri, banyak kajian tentang perceraian dan kesannya terhadap kanak-kanak telah dijalankan. Walaupun kajian-kajian ini dapat memberikan maklumat tentang kesan-kesan jangka pendek dan jangka panjang secara umum, adalah sukar untuk meramalkan kesan perceraian terhadap seseorang kanak-kanak kerana berbagai-bagai faktor mempengaruhi cara kanak-kanak itu menghadapi peristiwa ini. Bayi kecil tidak merasakan sangat kehilangan ayahnya jika dibandingkan dengan anak yang berusia lima tahun yang sudah mesra dengan ayahnya.

Selagi bekas pasangan suami isteri itu masih bertelingkah setiap kali mereka bertemu, selagi itulah emosi anak-anak akan terus tertekan. Keadaan rumahtangga yang huru-hara, suasana yang tidak tenteram dan ibu yang tidak dapat mengawal keadaan atau perasaannya juga akan menyebabkan emosi anak-anak terganggu.

Pertukaran sekolah dan perpisahan dengan kawan-kawan rapat boleh menyebabkan anak-anak berasa hiba, lebih lebih lagi jika mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru. Kunjungan dan bantuan daripada datuk dan nenek amatlah penting untuk mengurangkan beban yang dialami oleh keluarga yang terlibat. Berpindah ke rumah datuk nenek boleh memberi ketenteraman jiwa kepada keluarga  tersebut sementara mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru.

Kesan perceraian berbeza di antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Disini diberi dua contoh kes yang ditemui.

KES 1 
  A.  Seorang kanak-kanak Melayu berusia empat tahun yang memang cerdik.Dia sering menangis terutamanya pada waktu malam. Ibu bapanya telah bercerai sebulan yang lalu dan pada setiap hari minggu, ayahnya akan mengunjung dan membawanya bersiar-siar.  A memang mesra dan rapatdengan ayahnya sejak kecil lagi. Dia sering bertanyakan ibunya mengapa       ayahnya tidak lagi balik kerumah seperti dahulu.  Ibunya pula berasa marah terhadap A kerana setiap kali selepas dihantar pulang , A akan menangis teresak-esak sehingga berjam-jam lamanya.  Dia tidak bersetuju bekas suaminya membawa A keluar.

Di tadika pula , A  yang biasanya mudah mesra dan suka bergaul, asyik menyendiri sahaja.  Dia tidak berselera makan dan badannya jelas kelihatan susut.  Dia juga mudah panas hati jika kehendaknya tidak dituruti.  Ibu A menyatakan bahawa tingkah laku anaknya banyak berubah selepas dia bercerai dengan suaminya.

KES 2 
B.  pula seorang anak Cina berusia 12 tahun. Ibu bapanya telah bercerai sejak tiga tahun yang lepas dan tinggal bersama bapa saudaranya (abang ibunya) selama dua tahun.  Ibunya bekerja disebuah kedai dan ayahnya tidak pernah langsung melawatnya selepas perseraian itu.  B telah dibawa oleh bapa saudaranya berjumpa dengan ahli psikologi dan pakar psikiatrik kerana gerak-geri dan tingkah lakunya amat sukar diawasi.  Dia tidak mematuhi, selalu mencuri duit dan keluar sehingga larut malam bersama kumpulan budak-budak nakal.  Dia malas belajar dan sering ponteng sekolah.  Disekolah, dia telah beberapa kali dibawa ke perhatian guru besar kerana berkelakuan biadab, suka bertumbuk, mencuri duit murid-murid lain dan merokok.

 Banyak kajian menunjukkan bahawa masalah tingkah laku dan gangguan emosi sering dialami oleh kanak-kanak apabila berlaku perceraian dikalangan ibu bapa mereka. Corak tingkah laku berbeza di antara kanak-kanak dan ia berhubung kait dengan perkara-perkara seperti usia dan jantina. Kanak-kanak yang terganggu emosinya lebih sering mengeluh sakit seperti demam, sakit tekak, sakit perut dan sebagainya.

Seseorang kanak-kanak akan berasa marah terhadap ibu bapanya kerana bercerai dan dia melepaskan perasaan marahnya itu melalui perubahan sikap yang mendadak. Dia menjadi degil, bersikap panas baran, bertumbuk dengan budak-budak lain, mencuri, ponteng sekolah, bercampur dengan kumpulan budak-budak nakal dan menghisap rokok. Dia menjadi penyedih dan tidak suka bergaul, asyik menyendiri, menangis seorang diri, tidak lena tidur malam dan kelihatan malas.

Kanak-kanak mungkin berasa takut menghadapi masa depan tanpa seorang ayah. Mereka risau jika terpaksa berhenti atau bertukar sekolah, berpindah rumah, menghadapi masalah ekonomi dan sebagainya. Ini menyebabkan mereka berkelakuan tidak menentu. Kanak-kanak prasekolah mungkin tidak mahu berenggang dengan ibunya kerana takut kalau-kalau dia akan kehilangan ibunya pula. Dia juga mungkin lebih kerap kencing malam dan membuang air besar dalam seluarnya.  

Kanak-kanak remaja pula lebih sukar dikawal tanpa pengawasan  ayahnya.  Jika ibunya bekerja, ini akan memberinya lebih banyak kebebasan. Perasaan marah, kecewa dan sedih menguasai dirinya. Jika tidak diberi perhatian, dia akan cuba mencari ketenangan jiwa dengan berpoya-poya dan menghabiskan masa dikedai-kedai serta pusat-pusat membeli-belah bersama kawan-kawan yang mungkin memberikan pengaruh yang kurang sihat.

Dia mungkin tidak mengendahkan pelajarannya, selalu ponteng sekolah, merokok, meyertai kumpulan budak-budak nakal dan berkemungkinan besar terdedah pada pengaruh najis dadah. Anak-anak remaja yang tidak berdaya mengatasi ketegangan jiwa ini mungkin akan lari dari rumah. Ada juga remaja yang bertindak lebih jauh daripada itu sehingga sanggup cuba membunuh diri.

Beban tanggungjawab yang terpaksa dipikul seorang diri oleh wanita yang telah diceraikan menyebabkan ramai daripada mereka yang berkahwin sekali lagi. Adakalanya, ini dapat memperbaiki keadaan tetapi adakalanya boleh juga menimbulkan masalah perhubungan di antara kanak-kanak dengan ayah tirinya.

Datuk, nenek dan saudara mara boleh membantu keluarga yang mengalami perceraian menyesuaikan diri dengan suasana penghidupan baru. Ibu atau bapa saudara yang rapat dengan anak-anak ini boleh membantu mereka mengatasi masalah emosi yang dialami. Anak-anak mungkin amat marah pada ibu dan bapa mereka tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Ibu yang baru bercerai mungkin berasa tertekan dan tidak dapat menunjukkan caragaya keibuan yang memuaskan. Saudara mara, jiran atau pembantu rumah yang boleh menjaga anak-anaknya dari semasa ke semasa boleh memberikan sedikit kelegaan dan ketenteraman jiwa.

Pada pandangan saya, kesan perceraian terhadap kanak-kanak akan menjadi lebih ketara pada masa depan memandangkan lebih ramai keluarga yang mengamalkan penghidupan bercorak ' kelompok' (nuclear family type) dan hidup jauh daripada saudara mara. Para kaunselor, pakar psikologi dan pakar kanak-kanak boleh membantu keluarga yang terlibat menghadapi keadaan ini agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan suasana  baru.


Tuesday 1 May 2012

Dunia Teknologi dan Kanak-kanak

Dunia telah berubah fasa. Kita sekarang berada di dalam dunia teknologi maklumat. Tiada siapa boleh menafikan hakikat itu. Telefon bimbit telah menjadi satu keperluan pada hari ini. Komputer pula sudah dimiliki oleh kebanyakan rumah. Perkara ini memberi kesan dan implikasi kepada semua golongan termasuklah kanak-kanak. Kanak-kanak sekarang lebih advance dari kanak-kanak pada masa dahulu. Pelbagai gajet telah diterokai dan mereka pandai menggunakannya. Hal ini kerana, mereka telah dilahirkan dalam dunia yang  mengalami ledakan  teknologi pada hari ini.



Implikasi Komputer Kepada Pendidik Awal Kanak-Kanak
Penggunaan komputer yang bersesuaian memberi implikasi kepada pendidik kanak-kanak di taska dan tadika. Apabila penglibatan pendidik semakin aktif menggunakan teknologi komputer mereka perlu mendapat latihan dan khidmat sokongan yang berterusan. Tujuannya untuk melengkapkan diri membuat keputusan tentang komputer dan perisian yang akan digunakan oleh kanak-kanak di samping menyediakan persekitran pembelajaran yang berkesan dengan penggunaan komputer. Matlamat ini dapat dicapai menerusi latihan yang menyediakan maklumat asas dan kesedaran terhadap teknologi dan perisian komputer yang begitu cepat berkembang san sentiasa berubah. Latihan hendaklah menekankan penilaian perisian yang berhubung dengan perkembangan kanak-kanak.

Kerjasama Pendidik Dan Ibu Bapa Memastikan Perisian Komputer
Pendidik awal kanak-kanak di taska dan tadika perlu mendapat pengetahuan tentang perisian yang bersesuaian untuk digunakan oleh kanak-kanak. Adalah menjadi tanggungjawab bersama pendidik dan ibu bapa untuk membuat pilihan terbaik sebagai pengguna. Apabila ibu bapa dan pendidik telah terdidik dengan pemilihan bahan perisian komputer maklumat yang positif dan negatif tentang perisian dapat disampaikan kepada pengguna lain demi kebaikan kanak-kanak.

Komputer Sebagai Alat Bantu Pembelajaran Kanak-Kanak
Penggunaan komputer yang bersesuaian hendaklah digabungjalinkan dengan persekitaran pembelajaran yang biasa dan gunakan sebagai salah satu pilihan untuk membantu kanak-kanak belajar. Komputer perlu digunakan sebagai satu cara untuk membantu arah pendidikan yang sedia ada bukan mengantikannya. Oleh itu komputer mesti digabungjalinkan dalam amalan awal kanak-kanak secara fizikal, fungi dan falsafahnya. Maksud falsafah di sini ialah menepati matlamat dan tujuan penggunaannya.

Penggunaan Komputer Yang Bersesuaian Memupuk Keupayaan Kognitif Dan Sosial
Penggunaan teknologi termasuk komputer dapat memupuk keupayaan kognitif dan sosial. Komputer dapat menarik minat kanak-kanak terutama pada kesan bunyi dan grafik. Kanak-kanak kecil akan memerhati orang dewasa dan kanak-kanak lebih berusia menggunakan komputer dan kanak-kanak kecil berkeinginan melakukannya juga. Kanak-kanak berminat kepada komputer kerana mereka boleh membuat sesuatu perkara berlaku dengan mengunakan komputer. Perisian yang bersesuaian dapat memupuk kanak-kanak dalam permainan kreatif, menguasai pembelajaran, dan penyelesaian masalah. Kanak-kanak mengawal mengikut rentak masa dan tindakannya. Mereka boleh mengulangi proses atau aktiviti seberapa kerap dan membuat eksperimen menerusi pelbagai cara. Mereka juga boleh bekerjasama dengan rakan lain dan orang dewasa untuk membuat keputusan dan berkongsi penemuan dan rekacipta yang ditemui.

Perbandingan Komputer Dan Peralatan Pembelajaran Lain
Walau pun pada masa ini terdapat kajian yang menunjukkan komputer mempunyai kesan positif teknologi pada pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak, penyelidik masih menyatakan bahawa amalan, penyediaan komputer tidak dapat menggantikan nilai yang tinggi terhadap aktiviti awal kanak-kanak dan peralatan seperti lukisan, bongkah, pasir, air, buku, penerokaan dengan bahan peralatan, dan permainan dramatika. Kajian menunjukkan bahawa komputer boleh digunakan secara amalan yang bersesuaian untuk dimanfaatkan kepada kanak-kanak dan juga boleh disalahgunakan seperti peralatan lain. Oleh itu pendidik dan orang dewasa mesti menggunakan penilaian secara profesional dan menggunakan alat pembelajaran secara betul mengikut kesesuaian, mengaplikasikan ciri yang sama sebagaimana peralatan pembelajaran dan pengalaman lain. Pendidik dan orang dewasa perlu memberi pertimbangan terhadap kos teknologi dengan kos peralatan pembelajaran yang lain dan sumber program untuk membawa kepada keseimbangan yang sesuai di bilik darjah.

Peranan Orang Dewasa Dan Pendidik Menentukan Perisian Komputer
Orang dewasa dan pendidik perlu mengambil langkah dan bertanggungjawab terhadap pengaruh perisian komputer dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Terdapat beberapa kenyataan dan isu yang yang dibangkitkan berkaitan kemajuan teknologi komputer dengan kanak-kanak.
  • peranan orang dewasa/pendidik menilai kesesuaian penggunaan teknologi.
  • potensi kebaikan penggunaan teknologi dalam program pendidikan awal kanak-kanak.
  • kesepaduan teknologi dalam persekitaran pembelajaran
  • kemudahan untuk menggunakan teknologi kepada kanak-kanak.
  • unsur keganasan yang 'streo-type'
  • peranan ibu bapa dan pendidik menetapkan peraturan/undang-undang
Komputer Memberikan Pengalaman Yang Bersesuaian
Amalan yang bersesuaian bahan perisian komputer adalah terbuka dan penerokaan. Kanak-kanak mengawal program, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah menerusi cuba jaya untuk membuat perisian yang diingini. Perisian dimuatkan dengan persembahan yang konkrit tentang manusia, haiwan dan objek yang berfungsi secara realiti. Menerusi perisian penerokaan kanak-kanak menemui idea yang bernas tentang diri sendiri dan persekitarannya.

Pemilihan Bahan Perisian Komputer
Ramai ibu bapa tidak sedar penggunaan komputer tanpa menilai kandungan bahan perisian (software) akan meninggalkan kesan negatif kepada kanak-kanak. Ibu bapa jangan mudah terpengaruh dengan muka depan kulit yang tertera di bahan perisian. Cuba buat tinjauan kandungan bahan perisian dengan meneliti perkara berikut:
  • bahan grafik
  • kandungan
  • penyelesaian terbuka (open ended)
  • tahap cabaran
  • mesra pengguna
Pemilihan bahan perisian hendaklah disesuaikan dengan tahap usia kanak-kanak dan sesuai dengan nilai budaya. Elakkan memberi pendedahan dengan unsur keganasan. Didik kanak-kanak bahawa komputer hanya sebagai salah satu alat pembelajaran.

Komputer Mengurangkan Kreativiti Kanak-Kanak
Berdasarkan penyelidikan didapati penggunaan komputer boleh mengurangkan kreativiti kanak-kanak jika kanak-kanak menggunakan 'software' komputer secara latih tubi (drilland practice). Satu kajian dijalankan terhadap penggunaan 'software' latih tubi yang digunakan oleh kanak-kanak. Kajian ini telah dijalankan selama satu tahun di bilik darjah yang mempunyai kemudahan komputer digunakan tiga kali seminggu. Kanak-kanak mengalami penurunan 50 peratus dalam kreativiti skor. Tetapi sekiranya kanak-kanak menggunakan bahan terbuka (open-ended), 'software' yang bersesuaian adalah tidak menjejaskan kreativiti. Tidak semua pendidik dan ibu bapa mendapat pendedahan pemilihan bahan 'software' komputer yang bersesuaian untuk kanak-kanak. Pemilihan bahan dan memberikan bahan yang tidak bersesuaian mengakibatkan kesan negatif kepada kanak-kanak.

Mari sama-sama kita lihat video ini yang menggambarkan kanak-kanak zaman sekarang..