Wednesday, 18 April 2012

Taska, Tadika Atau Pusat Jagaan Kanak-kanak Sebagai Model


MEMBINA PERNIAGAAN

Adakah anda telah bersedia?
Mengapa ingin memulakan perniagaan sendiri?
Diharap bukan duit semata-mata yang menjadi ukuran..
Tetapi, adalah untuk peningkatan diri..penglibatan dalam masyarakat melalui perniagaan yang dijalankan dengan perhidmatan yang disediakan..
Dan..yang paling utama, untuk kepuasan diri sendiri dalam memenuhi impian masing-masing.

Bersedia untuk Memberi Komitmen
Menceburi bidang ini memerlukan tumpuan sepenuh perhatian dan komitmen dalam memastikan segala modal, masa dan tenaga mendapat pulangan yang setimpal dan selaras dengan pelan dan strategi yang telah dirancang untuk menjayakan perniagaan. Di awal penubuhan perniagaan, komitmen seratus peratus harus diberikan dan mesti mengambil bahagian dalam setiap aspek aktiviti di pusat anda. Hal ini kerana pelanggan, bank, pembekal, dan agensi yang terlibat lebih selesa berurusan sendiri dengan pengurus daripada staf.
Selain itu, memulakan jadual yang telah dirancang bagi aktiviti harian kanak-kanak di pusat anda adalah penting. Contohnya ,bermula pada awal pagi ,pukul  berapakah anda harus menerima pelanggan  yang membawa anak mereka ke pusat jagaan ,masa mandi ,sarapan ,masa pembelajaran ,makan tengah hari ,waktu tidur dan sebagainya . pastikan setiap kali anda memulakan aktiviti tersebut dengan staf yang terlibat . Selain itu , sediakan jadual harian yang lengkap dengan bertulis dan ditampalkan di papan kenyataan yang senang untuk dilihat staf anda sebagai panduan.

Kebiasaannya ,untuk memastikan pusat anda dapat  beroperasi sebaik mungkin , anda perlu memberikan komitmen dengan berada di pusat anda bermula dari waktu pagi sehingga ia ditutup pada sebelah petang . Mengikut pengalaman penulis, pengusaha  perlu berbuat begitu selama enam bulan yang pertama atau sehingga anda yakin bahawa staf telah pun memahami setiap langkah ,masa ,aktiviti harian serta bagaimanakah caranya untuk mereka berinteraksi dengan pelanggan  iaitu kanak-kanak  dan ibu bapa mereka .Senyuman dan wajah staf yang ceria akan memberi kesan yang sangat positif bagi mewujudkan rasa yakin  pelanggan iaitu ibu bapa  yang ingin menghantar dan mengambil anak mereka .


Pengetahuan dan pengalaman
Pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan ini  amat penting. Pengetahuan dan pengalaman biasanya didapati daripada sistem pembelajaran yang telah anda lalui bermula daripada sistem persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi ,melalui pembacaan ,internet ,menghadiri kursus yang berkaitan atau pengalaman bekerja dalam bidang tersebut . Perkara ini perlu ditekankan kerana pada awal perniagaan anda mempunyai sumber kewangan dan masa yang terhad dan setiap sen wang yang dikeluarkan sewajarnya anda mengharapkan pulangan  yang setimpal .
              Dalam konteks perniagaan tadika ,taska dan pusat penjagaan ,anda boleh menghubungi  jabatan pendidikan negeri di tempat anda untuk mendapat garis panduan yang harus diikuti bagi penubuhan sebuah tadika swasta . Kadangkala sesetengah jabatan pendidikan negeri juga ada menyediakan kursus yang bersangkutan dengan pendidikan tadika yang perlu anda tahu . Ambil peluang dengan mendaftarkan diri bagi mengikuti kursus tersebut dari semasa ke semasa . Selain itu , anda boleh menghubungi persatuan tadika Malaysia (sila dail 103 bagi mendapatkan nombor telefon terkini persatuan tersebut)kerana mereka juga ada menjalankan kursus mengenai tadika dari semasa ke semasa .
               Bagi penubuhan taska atau pusat jagaan ,langkah pertamanya anda perlu melawat jabatan kebajikan masyarakat tempatan . Dari situ anda akan mendapat maklumat mengenai persatuan pengasuh  negeri yang menjalankan kursus asas  penjagaan kanak-kanak yang diwajibkan oleh jabatan kebajikan masyarakat jika anda ingin membuka pusat jagaan atau taska.


Bertanggungjawab
Anda mesti bersedia mengambil tanggungjawab  sebagai pengusaha perniagaan . Bank , pembekal ,pelanggan mengharapkan dan membuat andaian  anda adalah pengusaha yang beretika serta mematuhi undang-undang  yang diperuntukkan kepada perniagaan tersebut. Ini bermakna anda perlu memberi perhatian yang teliti kepada undang-undang  seperti kontrak pembelian premis atau sewa ,bayaran cukai ,undang-undang dan akta perniagaan atau syarikat , undang-undang majlis tempatan ,jabatan bomba ,jabatan kesihatan ,jabatan pendidikan  dan jabatan kebajikan masyarakat . Anda perlu menyediakan tempat yang selamat untuk staf dan kanak-kanak.

Masa
Untuk berjaya dalam perniagaan ini memerlukan dedikasi ,ketekunan yang tidak berbelah bahagi dan mempunyai etika bekerja yang berdisiplin.  Secara umumnya anda perlu bekerja selama 70 jam sehingga 90 ham seminggu ( lebih kurang 11 jam sehingga 15 jam sehari) terutamanya pada awal penubuhan perniagaan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun pertama.

Walaupun anda tidak menghabiskan masa tersebut di premis perniagaan, ia mungkin melibatkan anda bekerja di rumah, atau di mana sahaja yang membolehkan anda membuat perancangan, mengemas kini  akaun, menjalankan strategi pemasaran, menemui pembekal, perbincangan dengan akauntan, berurusan dengan agensi yang terlibat dan banyak lagi. Pendek kata untuk membina perniagaan memerlukan masa yang banyak. Jika anda tidak bersedia melakukannya jangan mengharap untuk mendapat kejayaan yang maksimum.

Anda juga terpaksa mengetepikan  dahulu komitmen lain jika ingin berjaya. Walau bagaimana terdesaknya anda memerlukan wang, tidak sepatutnya anda bekerja dengan orang lain ketika anda sedang membina perniagaan ini. Selain daripada itu, masa yang ada adalah lebih baik diisikan untuk belajar mengenai perkara yang melibatkan urusan perniagaan seperti kursus jangka pendek mengenai perniagaan .

Umur
Umur bukanlah faktor yang mustahak untuk memulakan perniagaan. Sebaiknya anda tidak melengahkan umur dan masa bagi memulakan perniagaan kerana ia memerlukan banyak tenaga, terutama dalam menangani permasalahan dan risiko awal perniagaan.  Lebih cepat anda bermula, lebih cepat kejayaan dapat dikecapi.

Kesihatan yang Baik
Kesihatan  perniagaan anda adalah bergantung kepada kesihatan fizikal dan mental anda. Jika anda menghadapi masalah kesihatan yang serius, perniagaan ini bukanlah untuk anda kerana anda akan berhadapan dengan berbagai-bagai-bagai tekanan yang akan menjejaskan kebolehan dalam membuat keputusan yang bersangkutan dengan perniagaan ini.

Sokongan keluarga
Memulakan perniagaan akan menukarkan rutin harian anda. Keluarga yang memahami dan sentiasa menyokong setiap aktiviti anda akan membawa perniagaan ini ke puncak kejayaan.

Sebuah Impian

" The way to do things is to begin" ( Horace Greeley)

Impian yang diiringi dengan semangat, keberanian, keyakinan, pelan dan strategi yang teratur akan membawa kejayaan yang maksimum!

Kebanyakan daripada kita bercita-cita untuk membuka perniagaan. Sesetengah daripadanya membiarkan impian tersebut terkubur begitu sahaja hanya kerana beberapa faktor seperti kekurangan modal, kekurangan kemahiran, tidak yakin dengan diri sendiri dan banyak lagi. Bekerja sendiri sebenarnya memberikan anda lebih kebebasan dan mendorong anda untuk lebih berdisiplin dalam peningkatan diri sendiri. Anda bebas daripada bergantung pada gaji bulanan, bebas dari segi masa iaitu bukan lagi tertakluk kepada waktu kebiasaannya makan gaji selama lapan jam.

Perniagaan yang diceburi itu akan memberikan gambaran bagaimanakah sebenarnya sikap seseorang sebagai pengusaha yang menerajui perniagaan tersebut. Banyak atau sedikit pulangan yang diperoleh, maju atau tidak perniagaan adalah bergantung pada diri sendiri.

Walau bagaimanapun , membina perniagaan yang berjaya dan mampu bertahan lama  adalah tidak semudah disangka. Mengikut Michael E. Gerber  dalam bukunya The E-Myth 9(1995),lebih daripada  sejuta orang yang memulakan berbagai-bagai - bagai jenis  perniagaan dalam setahun di Amerika Syarikat .Statistik menyatakan bahawa pada penghujung tahun, 40% akan terkeluar daripada perniagaan mereka, manakala dalam masa lima tahun ,lebih 80% daripada mereka akan gagal dalam perniagaan diceburi.

 Statistik di Australia pula mendapati bahawa salah satu daripada dua individu yang memulakan perniagaan tidak akan dapat bertahan sehingga ulang tahun yang kedua penubuhan mereka ,manakala 75% perniagaan akan gagal dalam masa tiga tahun  yang pertama.

Langkah pertama adalah sangat penting dalam perniagaan . Jika anda berminat menceburi bidang perniagaan ,mulakan langkah pertama anda, kumpulkan keberanian dan tetapkan tarikh bilakah perniagaan itu akan bermula ?

 Jika keputusan telah dibuat ,langkah seterusnya akan menjadi lebih teratur .Anda mula merancang ,dan membentuk strategi bagaimanakah untuk menjayakan cita2 tersebut .mulakan dengan menilai diri jauh dari dalam diri sendiri . Apakah kemahiran ,bakat, atau kebolehan yang anda ada ? Jika rasanya belum mencukupi ,bagaimanakah akan anda dapati ilmu atau kemahiran  tersebut? Kewangan ,sokongan ,agensi terbabit dengan perniagaan yang bakal anda ceburi seperti pelesenan dan sebagainya .Tuliskan perkara yang berkaitan  dan langkah yang perlu diambil . Sekurang kurang nya untuk rujukan diri sendiri kelak.

Tulis lah cita-cita anda tersebut dan tampalkan ia di dinding bilik mu. Moga ia dapat memberi inspirasi buat diri sendiri untuk mencapai impian kita..

Bingkisan Dari Penulis..

Saya telah meminjam sebuah buku di perpustakaan yang bertajuk " Membina Perniagaan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan" yang ditulis oleh Norin Hassan. Saya sangat tertarik dengan bingkisan dari penulis yang telah membangkitkan semangat saya. Antara petikan dari bingkisan tersebut adalah:

" Jadikan impian satu kenyataan, segala-galanya adalah mungkin!"

Penulis telah mempersoalkan kepada pembaca dengan satu soalan yang menarik iaitu di manakah kita pada lima tahun akan datang? Ia telah membuka minda pembaca untuk berfikir dan merancang tentang kehidupan pada masa hadapan. Salah satu daripada keistimewaan kita sebagai manusia ialah kebolehan untuk merancang. Tetapi malangnya ramai yang tidak menggunakan kebolehan ini dan melepaskan peluang begitu sahaja dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain atau keadaan bagi menentukan masa depan kita. Bagi kita yang mempercayai Qada' dan Qadar yang menjadi salah satu daripada rukun iman, pengertiannya, setiap yang berlaku itu ada sebab dan musababnya. Kita tidak boleh hanya menunggu tetapi berkebolehan untuk memilih dan berusaha ke atas setiap perkara yang diinginkan secara bersungguh-sungguh dahulu, kemudian setelah berusaha, barulah kita berserah kepada Allah.

Apa yang sedang anda fikirkan saat ini?
Ingin menjadi guru tadika? Pengasuh?
Ingin melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi?
Ingin membuka perniagaan sendiri?
Ingin membuka tadika sendiri?

Walau apa pun impian anda, masa akan terus berputar dan tidak akan menunggu kita walau sesaat..
Apa pun yang ingin anda capai selalunya mengambil masa..
Sama ada anda ingin mengambil langkah yang pertama ke arah itu sekarang dan menikmati hasilnya dalam masa yang terdekat atau anda masih lagi menyimpannya jauh di sudut hati dan meletakkan matlamat tersebut untuk lima tahun yang akan datang, baru anda ingin memikirkannya semula?

Jangan terlambat!

Keputusan yang ditangguh selalunya akan terkubur begitu sahaja, dan jangan biarkan anda terus statik tidak berganjak, menyerahkannya kepada keadaan dan nasib baik yang jarang-jarang berlaku.

Anda mesti mengambil keputusan sekarang!
Di manakah anda ingin berada lima tahun yang akan datang?
Mimpikan kemungkinan-kemungkinannya..
Pasangkan niat anda..
Diikuti dengan membuat keputusan dan mengambil tindakan..
Pindahkan tenaga negatif anda dengan memikirkan perkara yang positif
Gunakan tenaga potensi yang berada dalam setiap jisim diri anda dengan aktiviti tindakan yang akan membawa kepada matlamat yang ingin dicapai..
Bayangkan dalam fikiran..
Jika anda memperoleh apa yang diinginkan..
Bagaimanakah keadaannya ?
Bagaimanakah rasanya ?
Dengarlah gerak hati anda, dan tarik nafas dengan tenang..
Lihatlah masa depan anda..
Dan alami lah saat itu..

Keluarlah sekarang..dan jadikan impian itu satu kenyataan..
Pastikan ia realiti untuk keluarga anda..
Pasti ia berlaku untuk masyarakat sekeliling..
Dan yang penting pastikan ia pencapaian peningkatan untuk diri anda..
Itulah masa depan anda..
Bertindak sekarang!