Showing posts with label usahawan. Show all posts
Showing posts with label usahawan. Show all posts

Thursday, 19 April 2012

Ciri-ciri Ideal Seorang Usahawan



Jika anda mempunyai cita-cita untuk membuka perniagaan sendiri di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak anda harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri seorang usahawan. Sebagai pengusaha anda mesti mempunyai ciri-ciri seorang usahawan. Jika ciri-ciri ini tiada pada anda , usah risau…ia boleh dipelajari. Anda boleh menguasai dan mempraktikkannya dari semasa ke semasa. Asalkan anda sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan bersedia mengambil iktibar daripada pengalaman-pengalaman lalu dalam menjalankan sesuatu perniagaan. Kursus-kursus boleh diikuti bagi melengkapkan pengetahuan dalam bidang berkaitan.  Selain itu , anda juga harus memperkayakan bacaan, melayari internet dan bertanya kepada individu atau institusi yang lebih arif.

Berikut adalah senarai keperibadian ideal bagi seorang usahawan:
  •  Sikap yang positif

Semaikan sikap yang positif walaupun anda mengalami pengalaman pahit dalam sesuatu perkara. Anda mesti berusaha untuk menukarkan situasi pahit tersebut sebagai pengalaman yang memberikan pengajaran. Sentiasa menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermakna yang dapat memberikan sokongan dan membakar semangat bagi mencapai objektif, gol, atau dengan kata lain, matlamat anda.

  • Berani dan bersedia untuk menghadapi cabaran
Bersedia mengambil risiko dan tidak gentar kepada perubahan baru yang akan anda hadapi.

  • Tekun, bersemangat kental dan jitu
Anda akan meneruskan usaha walaupun terpaksa melalui saat-saat yang sukar. Bina keazaman untuk meneruskan segala perancangan yang telah dibuat, walau apa pun rintangannya. Itulah ketikanya seseorang yang lemah semangat mengaku kalah dan give up. Untuk berjaya, anda mesti meneruskan usaha, walaupun terpaksa merangkak! Tidak mengaku kalah, DON'T QUIT AND NEVER GIVE UP!!!

  • Inovatif dan kreatif
Sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di sekelilingnya dan berupaya membuat perubahan secara kreatif. Ketika orang lain di sekeliling anda hanya melihat masalah dan peluang yang terhad, anda mesti dapat melihat segala kemungkinan, segala peluang dan bersedia menempuh cabaran. Sentiasa mencuba, tidak segan bertanya kepada seseorang sama ada pakar ataupun amaetur, selalu melihat kepada cara yang lebih baik dan lebih cepat untuk melakukan sesuatu perkara atau menyelesaikan masalah.

  • Fokus
Sepanjang masa bekerja dan berusaha untuk mencapai objektif anda walaupun terpaksa menghadapi rintangan dan lain-lain perkara yang nampaknya lebih menarik. Ikuti perancangan yang telah dibuat, hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun sehingga kejayaan yang diidamkan menjadi kenyataan. Sentiasa menggunakan masa sebaiknya dan tidak membiarkan ia berlalu sahaja tanpa sesuatu yang bermanfaat.

  • Dedikasi dan memberikan sepenuh komitmen
Memahami tujuan anda dan komited dalam melaksanakannya. Adalah sukar untuk berjaya dalam perniagaan ini jika anda meletakkan sebelah kaki sahaja, sebelah kaki dalam perniagaan dan sebelah lagi dalam perkara lain. Anda mesti meletakkan target ke atas diri anda untuk memberikan prestasi yang sangat tinggi bagi menjayakan perniagaan ini.

  • Berfikiran terbuka
Dapat menerima kesilapan yang lepas di samping dapat menerima idea orang lain jika ia lebih baik dari anda. Jika sesuatu perkara tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan, anda bersedia mengambil pelajaran daripadanya dan bersedia memperbaiki dan melakukannya dengan lebih baik pada masa hadapan.

  • Semangat bersaing ke arah kecemerlangan
Berhubung dan melayan pengusaha lain sebagai sahabat dan memperbaiki kecemerlangan perkhidmatan anda tanpa menjatuhkan orang lain. Selidiki apakah perkara baik daripada orang lain yang boleh anda pelajari dan laksanakan dalam perniagaan atau kehidupan sehari-hari. Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain kerana ia tidak akan berakhir. Sentiasa ada orang yang lebih baik daripada anda dan idea tersebut akan membentuk gambaran negatif ke dalam pemikiran. Elakkan membuat perbandingan diri anda dengan orang lain tetapi sentiasa membandingkan prestasi pencapaian pembangunan diri anda dari semasa ke semasa. Bandingkan pencapaian anda pada bulan ini berbanding bulan lepas atau tahun ini berbanding tahun lepas atau tahun ini berbanding tahun lepas, perbaiki prestasi diri anda dan perniagaan anda, percayalah ia akan menjadi kenyataan sebagaimana yang diidamkan, sooner or later…

  • Mempunyai motivasi diri yang tinggi dan sentiasa bersyukur
Sentiasa berusaha untuk maju ke hadapan tanpa sifat ego atau bangga atas kejayaan yang dikecapi. Sentiasa bersyukur kepada Tuhan dan menunjukkan penghargaan kepada setiap individu yang memberi kerjasama di sepanjang perjalanan ke arah mencapai kejayaan yang diharapkan.

  • Optimis
Walaupun anda berasa pada masa sekarang, visi anda mesti melihat pada masa hadapan. Dengan kata lain, melihat masa kini dan sentiasa mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan dan memperbaiki kualiti program atau perkhidmatan perniagaan anda.

  • Bertanggungjawab dan mempunyai integriti yang tinggi
Anda bersedia menerima tanggungjawab, melaksanakannya sepenuh hati dan dengan penuh integriti. Anda juga mesti sedia bertanggungjawab ke atas setiap hasil daripada keputusan yang telah diambil atau dilaksanakan.

  • Bijak berinteraksi dan pengawalan diri yang tinggi
Berkebolehan dan mempunyai pengetahuan mengenai cara berhubu8ng, berinteraksi dengan setiap individu dan orang ramai amnya. Anda mesti mempunyai pengawalan diri ( self control) yang tinggi dalam apa jua keadaan, kerana daripada itu barulah orang lain akan lebih menghormati dan menghargai kecemerlangan anda. Contohnya dalam satu situasi, walaupun anda seorang yang berpendidikan atau berjawatan tinggi tetapi, jika suatu saat, anda tidak dapat mengawal kemarahan dengan menjerit kepada seseorang kerana suatu perkara,maka kredibiliti anda akan jatuh dan setiap individu yang melihat atau mengalami situasi tersebut dalam diamnya akan hilang rasa hormat terhadap anda.

  • Networking
Anda perlu menghargai persahabatan, perkenalan dan mengenali  ramai orang di setiap lapisan masyarakat. Persahabatan dengan individu daripada pelbagai jenis profesion akan membantu networking anda, sama ada memberikan anda rujukan, mempercepatkan urusan anda, atau saling tolong-menolong antara satu sama lain bagi menjayakan karier dan matlamat masing-masing..

Life as if you were to die tomorrow, learn as if you were to life forever..
 ( Mahatma Gandi)

Wednesday, 18 April 2012

Taska, Tadika Atau Pusat Jagaan Kanak-kanak Sebagai Model


MEMBINA PERNIAGAAN

Adakah anda telah bersedia?
Mengapa ingin memulakan perniagaan sendiri?
Diharap bukan duit semata-mata yang menjadi ukuran..
Tetapi, adalah untuk peningkatan diri..penglibatan dalam masyarakat melalui perniagaan yang dijalankan dengan perhidmatan yang disediakan..
Dan..yang paling utama, untuk kepuasan diri sendiri dalam memenuhi impian masing-masing.

Bersedia untuk Memberi Komitmen
Menceburi bidang ini memerlukan tumpuan sepenuh perhatian dan komitmen dalam memastikan segala modal, masa dan tenaga mendapat pulangan yang setimpal dan selaras dengan pelan dan strategi yang telah dirancang untuk menjayakan perniagaan. Di awal penubuhan perniagaan, komitmen seratus peratus harus diberikan dan mesti mengambil bahagian dalam setiap aspek aktiviti di pusat anda. Hal ini kerana pelanggan, bank, pembekal, dan agensi yang terlibat lebih selesa berurusan sendiri dengan pengurus daripada staf.
Selain itu, memulakan jadual yang telah dirancang bagi aktiviti harian kanak-kanak di pusat anda adalah penting. Contohnya ,bermula pada awal pagi ,pukul  berapakah anda harus menerima pelanggan  yang membawa anak mereka ke pusat jagaan ,masa mandi ,sarapan ,masa pembelajaran ,makan tengah hari ,waktu tidur dan sebagainya . pastikan setiap kali anda memulakan aktiviti tersebut dengan staf yang terlibat . Selain itu , sediakan jadual harian yang lengkap dengan bertulis dan ditampalkan di papan kenyataan yang senang untuk dilihat staf anda sebagai panduan.

Kebiasaannya ,untuk memastikan pusat anda dapat  beroperasi sebaik mungkin , anda perlu memberikan komitmen dengan berada di pusat anda bermula dari waktu pagi sehingga ia ditutup pada sebelah petang . Mengikut pengalaman penulis, pengusaha  perlu berbuat begitu selama enam bulan yang pertama atau sehingga anda yakin bahawa staf telah pun memahami setiap langkah ,masa ,aktiviti harian serta bagaimanakah caranya untuk mereka berinteraksi dengan pelanggan  iaitu kanak-kanak  dan ibu bapa mereka .Senyuman dan wajah staf yang ceria akan memberi kesan yang sangat positif bagi mewujudkan rasa yakin  pelanggan iaitu ibu bapa  yang ingin menghantar dan mengambil anak mereka .


Pengetahuan dan pengalaman
Pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan ini  amat penting. Pengetahuan dan pengalaman biasanya didapati daripada sistem pembelajaran yang telah anda lalui bermula daripada sistem persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi ,melalui pembacaan ,internet ,menghadiri kursus yang berkaitan atau pengalaman bekerja dalam bidang tersebut . Perkara ini perlu ditekankan kerana pada awal perniagaan anda mempunyai sumber kewangan dan masa yang terhad dan setiap sen wang yang dikeluarkan sewajarnya anda mengharapkan pulangan  yang setimpal .
              Dalam konteks perniagaan tadika ,taska dan pusat penjagaan ,anda boleh menghubungi  jabatan pendidikan negeri di tempat anda untuk mendapat garis panduan yang harus diikuti bagi penubuhan sebuah tadika swasta . Kadangkala sesetengah jabatan pendidikan negeri juga ada menyediakan kursus yang bersangkutan dengan pendidikan tadika yang perlu anda tahu . Ambil peluang dengan mendaftarkan diri bagi mengikuti kursus tersebut dari semasa ke semasa . Selain itu , anda boleh menghubungi persatuan tadika Malaysia (sila dail 103 bagi mendapatkan nombor telefon terkini persatuan tersebut)kerana mereka juga ada menjalankan kursus mengenai tadika dari semasa ke semasa .
               Bagi penubuhan taska atau pusat jagaan ,langkah pertamanya anda perlu melawat jabatan kebajikan masyarakat tempatan . Dari situ anda akan mendapat maklumat mengenai persatuan pengasuh  negeri yang menjalankan kursus asas  penjagaan kanak-kanak yang diwajibkan oleh jabatan kebajikan masyarakat jika anda ingin membuka pusat jagaan atau taska.


Bertanggungjawab
Anda mesti bersedia mengambil tanggungjawab  sebagai pengusaha perniagaan . Bank , pembekal ,pelanggan mengharapkan dan membuat andaian  anda adalah pengusaha yang beretika serta mematuhi undang-undang  yang diperuntukkan kepada perniagaan tersebut. Ini bermakna anda perlu memberi perhatian yang teliti kepada undang-undang  seperti kontrak pembelian premis atau sewa ,bayaran cukai ,undang-undang dan akta perniagaan atau syarikat , undang-undang majlis tempatan ,jabatan bomba ,jabatan kesihatan ,jabatan pendidikan  dan jabatan kebajikan masyarakat . Anda perlu menyediakan tempat yang selamat untuk staf dan kanak-kanak.

Masa
Untuk berjaya dalam perniagaan ini memerlukan dedikasi ,ketekunan yang tidak berbelah bahagi dan mempunyai etika bekerja yang berdisiplin.  Secara umumnya anda perlu bekerja selama 70 jam sehingga 90 ham seminggu ( lebih kurang 11 jam sehingga 15 jam sehari) terutamanya pada awal penubuhan perniagaan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun pertama.

Walaupun anda tidak menghabiskan masa tersebut di premis perniagaan, ia mungkin melibatkan anda bekerja di rumah, atau di mana sahaja yang membolehkan anda membuat perancangan, mengemas kini  akaun, menjalankan strategi pemasaran, menemui pembekal, perbincangan dengan akauntan, berurusan dengan agensi yang terlibat dan banyak lagi. Pendek kata untuk membina perniagaan memerlukan masa yang banyak. Jika anda tidak bersedia melakukannya jangan mengharap untuk mendapat kejayaan yang maksimum.

Anda juga terpaksa mengetepikan  dahulu komitmen lain jika ingin berjaya. Walau bagaimana terdesaknya anda memerlukan wang, tidak sepatutnya anda bekerja dengan orang lain ketika anda sedang membina perniagaan ini. Selain daripada itu, masa yang ada adalah lebih baik diisikan untuk belajar mengenai perkara yang melibatkan urusan perniagaan seperti kursus jangka pendek mengenai perniagaan .

Umur
Umur bukanlah faktor yang mustahak untuk memulakan perniagaan. Sebaiknya anda tidak melengahkan umur dan masa bagi memulakan perniagaan kerana ia memerlukan banyak tenaga, terutama dalam menangani permasalahan dan risiko awal perniagaan.  Lebih cepat anda bermula, lebih cepat kejayaan dapat dikecapi.

Kesihatan yang Baik
Kesihatan  perniagaan anda adalah bergantung kepada kesihatan fizikal dan mental anda. Jika anda menghadapi masalah kesihatan yang serius, perniagaan ini bukanlah untuk anda kerana anda akan berhadapan dengan berbagai-bagai-bagai tekanan yang akan menjejaskan kebolehan dalam membuat keputusan yang bersangkutan dengan perniagaan ini.

Sokongan keluarga
Memulakan perniagaan akan menukarkan rutin harian anda. Keluarga yang memahami dan sentiasa menyokong setiap aktiviti anda akan membawa perniagaan ini ke puncak kejayaan.