1.0 PENDAHULUAN
Autisme bermula sejak awal 20 masihi lagi. Perkataan autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu “autos” yang bermaksud sendiri. Dalam situasi ini, autos merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Seorang ahli psikologi dari Harvard iaitu Leo Kanner telah memperkenalkan istilah austis pada tahun 1943 berdasarkan pemerhatian beliau terhadap penghidap autisme yang menunjukkan respon yang negatif dalam berkomunikasi dengan orang lain, pengasingngan diri, keadaan yang tidak fleksibel dengan orang lain dan cara komunikasi yang berbeza daripada orang biasa. Hasil kajian, (Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov, 2006), di dalam jurnalnya yang bertajuk “Does Television Cause Autism?” menyatakan bahawa 1 daripada 166 kanak-kanak di dunia merupakan penghidap autisme.
Menurut kamus Oxford Advance Learner autism ialah a mental condition in which a person is unable to communicate or form relationships with other. Kamus Electronik Encarta terbitan Microsoft Coporation pula menyatakan bahawa autisme ialah a disturbance in phycological development in which use of language, reaction to stimuli, interpretation of the world, and the formation of relationships are not fully established and follow unusual pattern. Maka, dapat disimpulkan di sini, autisme merupakan ganguan psikologi terhadap perkembangan komunikasi, gerakan tubuh badan, sikap, emosi, sosial, dan sentuhan.
Menurut Dr. Widowo Judarwanto di dalam jurnalnya yang bertajuk “Pencegahan Autis Pada Anak”, kebiasaanya autistik tidak langsung mempedulikan suara, penglihatannya ataupun perkara-perkara yang berlaku dipersekitaran mereka. Sekiranya mereka memberi reaksi terhadap sesuatu perkara, kebiasaanya, reaksi mereka langsung tidak menyentuh mengenai perkara tersebut, malah adakalanya mereka tidak langsung memberi apa-apa reaksi.
2.0 CIRI-CIRI KANAK-KANAK AUTISME
2.1 Komunikasi dan Bahasa
Menurut Dr. Widowo, penghidap autisme biasanya mengalami masalah gangguan dalam komunikasi. Mereka lambat untuk bercakap dan ada sesetengahnya gagal secara total untuk bercakap. Sekiranya mereka dapat bercakap, mereka hanya bercakap untuk masa yang singkat, tidak dalam waktu yang lama. Menariknya, mereka hanya mampu untuk menggunakan bahasa tubuh untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka mampu untuk meniru apa yang orang lain katakan, tetapi mereka gagal untuk memahami maksud kata-kata tersebut.
2.2 Kognitif
Autisme merupakan masalah dalam mental penghidapnya. Maka, ia turut memberi kesan dalam perkembangan kognitif mereka. Menurut (Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov, 2006) dalam jurnalnya menyatakan bahawa kanak-kanak autisme ini mengalami masalah separa buta akal. Mereka kurang memahami konsep pemahaman yang difikirkan oleh orang lain.
2.3 Interaksi Sosial
Dr. Widowo menyatakan bahawa penghidap autisme biasanya mengelakkan diri untuk bertentang muka dengan orang lain. Mereka tidak menyahut apabila mereka dipanggil tetapi hanya menolehkan muka kepada orang yang memanggil mereka. Kebiasaannya penghidap autisme akan merasa tidak selesa jika mereka ini dipeluk, tetapi mereka tidak menolak pelukan tersebut. Sekiranya mereka menginginkan sesuatu mereka akan memegang tangan orang yang berhampiran dengan mereka dan mengharapkan orang tersebut melakukan sesuatu untuk memenuhi keinginannya. Mereka tidak akan berasa selesa sekiranya waktu mereka bermain ada orang lain cuba untuk mendekati mereka dan mereka akan mengambil tindakan untuk menjauhkan diri daripada orang tersebut.
2.4 Ganguan Emosi
Menurut Dr. Widowo lagi, kebanyakan penghidap autisme, mengalami masalah emosi yang tidak seimbang. Kadangkala mereka akan ketawa, menangis atau marah seorang diri tanpa sebab yang munasabah. Mereka ini mempunyai sikap panas baran yang sukar dikawal terutama apabila mereka gagal untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Ini boleh menyebabkan mereka menjadi manusia yang agresif.
2.5 Perangai dan Sikap
Dr. Widowo menafsirkan bahawa kanak-kanak autisme ini senang untuk diuruskan apabila meletakkan sesuatu barang pada tempat-tempat yang tertentu. Kadangkala, kanak-kanak ini akan berubah sikap menjadi kanak-kanak yang hiperaktif terutamanya apabila mereka berhadapan dengan suasana yang asing buat mereka. Mereka akan meniru perbuatan yang dilihatnya seperti burung yang sedang terbang. Mereka akan melambai-lambaikan tangan seolah-olah mereka juga ingin terbang. Ibu bapa dan guru perlu memberikan perhatian yang lebih kepada kanak-kanak autisme kerana mereka mampu untuk mencederakan diri mereka seperti menghantukkan kepala mereka ke dinding. Kadangkala juga, mereka akan bersikap pasif dengan berdiam diri sambil merenung dengan renungan yang kosong. Perubahan sikap yang ditunjukkan seperti marah dengan tiba-tiba dan memberi perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap sesuatu perkara.
2.6 Kesan Sentuhan Fizikal
Hasil kajian Dr. Widowo menunjukkan bahawa kebanyakkan penghidap autisme sangat sensitif terhadap cahaya, bunyi, sentuhan, rasa dan ciuman. Kebiasaannya penghidap autisme mengalami tabiat suka menjilat, menggigit, atau mencium apa sahaja barang termasuklah barang mainan mereka. Mereka akan menutup telinga apabila mereka terdengar bunyi kuat. Apabila kanak-kanak autisme ingin dimandikan mereka akan menangis apabila rambut mereka dibasahkan. Mereka juga tidak selesa jika mereka dipakaikan dengan pakaian-pakaian yang tertentu menyebabkan ibu bapa sukar untuk menguruskan pakaian mereka. Mereka amat tidak selesa dengan pelukan atau rabaan. Mereka akan cuba mengelak atau melepaskan diri daripada perbuatan tersebut.
3.0 IMPLIKASI KANAK-KANAK AUTISME DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Guru memainkan peranan penting dalam menguruskan kanak-kanak autisme di sekolah. Ini kerana kanak-kanak autisme ini sukar dikenal pasti secara melalui fizikal semata-mata. Mereka mengalami masalah komunikasi yang kronik sehingga mereka tidak mampu untuk mengenal pasti riak air muka, bahasa tubuh, isyarat atau perlambangan, dan nada suara yang berbeza bagi menafsirkan perasaan.
Menurut Vacca (2007) dalam jurnalnya yang bertajuk Autistic Children Can Be Taught To Read menyatakan bahawa pemikiran imaginasi kanak-kanak autistik sentiasa berkurangan, maka penulisan dan pembacaan yang kreatif terlalu sukar untuk difahami oleh mereka. Maka, guru perlu mengajar dalam bentuk yang lebih fakta dan konkrit. Sebagai contohnya, guru menanyakan soalan fakta seperti “Apa yang berlaku disini?, apa yang akan berlaku seterusnya?” dan sebagainya. Vacca (2007) percaya bahawa adalah lebih baik sekiranya guru menggunakan bahan yang realiti berbanding bahan yang berbentuk fantasi.
Menurut Vacca (2007) lagi, beliau menyatakan bahawa guru perlu menjadikan aktiviti membaca untuk autistic suatu aktiviti yang menyeronokkan dengan menggunakan Authetic High Interest Visual Material. Berdasarkan journal beliau, Grandin (2002) menyatakan bahawa kanak-kanak autisti memiliki pemikiran visual. Mereka tidak memikirkan bahasa tetapi dalam bentuk gambar rajah.
Menurut Vacca (2007) , beliau menyatakan lagi dalam kajian beliau bahawa dalam memulakan pengajaran untuk kanak-kanak autistik, guru perlu mengikut minatnya terlebih dahulu. Sebagai contohnya, guru meminta kanak-kanak autistic melukis kartun lawak dan kemudian menulis penerangan mengenai kartun tersebut dibawah gambar tersebut.
Apabila mereka selesai dalam melakukan sesuatu tugasan, berikanlah kata-kata pujian walaupun adakalanya mereka tidak memahami pujian tersebut. Ganjaran juga boleh diberikan seperti melebihkan masa bermain mereka kerana mereka telah berjaya melakukan sesuatu tugasan.
Semasa mengajar, guru digalakkan untuk menggunakan kata-kata, foto-foto, gambar rajah, lambang atau isyarat bagi membantu mereka untuk meluahkan perasaan mereka. Keprihatinan guru dalam mengenal pasti perasaan mereka adalah perlu agar emosi dan perasaan mereka tidak mempengaruhi tingkah laku mereka cenderung ke arah negatif seperti mencederakan diri atau orang lain.
4.0 PENUTUP
Penyakit kecacatan pada mental yang memberi kesan sepanjang hidup ini terlalu sukar untuk dipulihkan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pihak terutamanya guru-guru dalam mengenal pasti setiap ciri-ciri kanak-kanak autisme ini supaya dapat berhadapan dengan mereka dengan bijak dan menggunakan segala kemahiran yang ada dalam membentuk mereka menjadikan seperti kanak-kanak yang lain. Kesabaran dan ketabahan diperlukan dalam menguruskan kanak-kanak autisme ini kerana tanpa kesabaran dan ketabahan yang tinggi menyebabkan kanak-kanak ini akan terus cacat seumur hidup mereka.
5.0 RUJUKAN
5.1 Rujukan Utama
1. Judarwanto, D. W. (n.d.). Pencegahan Autis Pada Anak. Phycology , 1-11.
2. Michael Waldman, Sean Nicholson,& Nodir Adilov. (2006). Does Television Cause Autism? Psycology , 1-44.
3. Vacca, J. S. (2007). Autistic Children Can Be Taught To Read. Psychology , 54-61.
5.2 Rujukan Tambahan
1. Haliza Hamzah, Joy N. Samuel & Rafidah Kastawi. (2008). Perkembangan Kanak-kanak Untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
2. Jaafar, J. L. (2002). Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Meng, E. A. (2002). Psikologi Pendidikan 1 : Psikologi Perkembangan (Semester 1). Shah Alam, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
4. Wehmeirer, S. (2006). Oxford Advenced Learner's Dictionary. New York: Oxford Univercity Press.
5. Veenstra-VanderWeele, Jeremy. "Autism." Microsoft® Student 2008 [DVD]. Redmond, WA: Microsoft Corporation, 2007.
Mereka adalah umpama permata yang perlu digilap agar ia bersinar pada masa hadapan...
Showing posts with label Kanak-kanak istimewa. Show all posts
Showing posts with label Kanak-kanak istimewa. Show all posts
Thursday, 3 January 2013
Saturday, 28 April 2012
Bersama Syahir Yang Istimewa
Pagi tadi, bermula lah episod perkenalan saya dan Syahir yang istimewa. Memang dia adalah anugerah Allah yang sangat istimewa. Walau dia insan yang kurang sempurna, tapi pasti ada keistimewaan dalam dirinya. Setiap insan, Allah menganugerahkan keunikan dan keistimewaan tersendiri.
Syahir adalah seorang kanak-kanak yang mengalami masalah autisme. Berumur 7 tahun. Dia seorang yang agak hiperaktif. Memang penat juga dibuatnya sesiapa yang melayannya. Saya telah di amanahkan oleh ibunya untuk mengajar syahir menulis. Memang sangat sukar untuk menyuruhnya memegang pensil apatah lagi untuk menulis. Namun begitu, apa yang membuat saya agak terperanjat adalah dia boleh membaca. Dan dia juga pandai membaca perkataan bahasa Inggeris. Sebutannya juga agak bagus meskipun pada awalnya saya agak sukar untuk memahami yang diucapkannya. Dia juga seorang yang suka bercakap seorang diri. Kadang-kadang apa yang diucapkannya adalah skrip di dalam kartun yang ditontonnya. Antara ayat yang saya dapat tangkap adalah dia menyebut ' Dora The Explorer'. Memang geli hati melihat tingkahnya yang tidak boleh duduk diam. Penat saya bukan kerana mengajar tetapi mengejar dia. Huhu.
Dia memang sukar untuk memberi respon dengan apa yang saya minta. Mungkin kerana masalah dia yang memiliki masalah komunikasi yang terhad. Dan dia hanya memahami apabila saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Hal ini kerana, ibunya pernah tinggal di luar negara dan berkomunikasi dengannya dalam bahasa Inggeris. Di sini lah saya dapat meningkatkan my english skill communication walaupun dengan kanak-kanak kecil. Memang pada mulanya, saya tidak berkeyakinan untuk ber' speaking' dengan dia, namun atas desakan ini, saya berusaha juga untuk cuba ber'speaking' dengan Syahir. Banyak juga perkara yang saya belajar dengan Syahir ni. Hehe
Syahir juga lebih suka berada dalam dunianya sendiri seolah-olah saya tiada di sisinya. Jika sebelum ini saya hanya mengetahui teori tentang ini. Pada hari ini, saya dapat menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri tentang kanak-kanak autisme ini yang berada dalam dunianya sendiri. Ia menyebabkan sukar untuk saya mengalih perhatiannya. Saya telah mencuba pelbagai perkara untuk cuba menarik perhatiannya agar dia dapat belajar menulis. Namun,hanya sia-sia sahaja usaha saya itu. Huhu. Memang sangat memerlukan kesabaran yang tinggi.
Dia juga sangat taksub dengan kertas. Jika dia dapat sehelai kertas dia akan mengoyak atau bermain-main dengan kertas itu. Oleh sebab itu, ibunya terpaksa mengunci bilik yang terdapat kertas di dalamnya. Apabila dia telah memperoleh sehelai kertas itu, dia akan leka bermain dengan kertas itu dan sukar untuknya melepaskan kertas itu. Kadang-kadang dia akan menangis atau mengamuk jika ada sesiapa yang cuba merampas kertas itu daripadanya.
Syahir juga sering melakukan ' stimming' iaitu perlakuan merangsang diri sendiri kepada tingkah laku berulang-ulang tanpa tujuan tertentu. Contohnya, berjalan mundar mandir, bermain dengan jari, ketawa di luar konteks, menepuk dan lain-lain.
Setelah dua jam bersama Syahir, ibunya pulang bersama adik syahir yang lain yang mempunyai aktiviti di sekolah. Banyak juga perkongsian dari ibunya tentang anaknya yang istimewa ini. Antaranya, kadang-kadang kita perlu bertegas dalam mengajar mereka. Hal ini kerana sikap mereka yang suka berhelalah dan memberi alasan jika kita menyuruhnya melakukan sesuatu. Jika dilihat cara ibunya mengajar, memang agak tegas cara dia mendidik dan melatih anaknya yang istimewa. Apa yang saya dapat dari perkongsiannya adalah saya perlu lebih bertegas padanya untuk pertemuan yang akan datang.
Pengalaman pada hari ini sangat berharga. Memang ini adalah pertama kali saya bersama dengan kanak-kanak yang mengalami autisme. Ia telah mendorong saya untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang masalah ini. Sekian sahaja perkongsian saya pada hari ini.
Thursday, 26 April 2012
Mengajar Kanak-kanak Autisme
Bermula esok,saya telah di amanahkan untuk seorang kawan kepada kawan saya yang telah berumah tangga untuk mengajar anaknya yang mengalami autisme. Debaran terasa kerana belum pernah mengajar kanak-kanak yang mengalami masalah ini. Namun, ku sahut jua cabaran ini sebagai pengalaman yang bermakna dalam hidupku..
Lantas..langkah ku ambil bagi membuat persediaan untuk menghadapi hari esok. Hari ini aku bertekad dalam diri untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang kanak-kanak autisme dan bagaimana teknik yang sesuai yang boleh digunakan untuk mengajar mereka. Perpustakaan merupakan tempat yang akan ku tuju bagi menunaikan hasrat di hati ini untuk memahami dunia kanak-kanak autisme..
Di sini, saya ingin berkongsi tentang maklumat yang telah saya perolehi berkaitan kanak-kanak autisme..
Cara Mendidik Anak Autisme
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
AYAT pendek, mudah dan perkataan disebut satu persatu dengan jelas adalah asas untuk berkomunikasi dengan semua kanak-kanak, terutama yang mengalami masalah autisme. Melalui pendekatan betul, kanak-kanak autisme yang sering dianggap bermasalah sebenarnya boleh belajar dengan baik dan berdikari.
Selagi kita belum kenal dan tahu mengapa mereka menunjukkan kelakuan ‘pelik’, jangan cepat memberi label kepada kanak-kanak autisme hanya kerana mereka dilahirkan begitu.
Mereka bukan pembawa masalah, sebaliknya kehadiran kanak-kanak autisme sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk berfikir lebih kreatif menjaga dan mendidik golongan ini.
Memang diakui tidak mudah untuk mendekati kanak-kanak autisme kerana mereka bukan saja tidak pandai bersosial, memiliki kemahiran berkomunikasi terhad dan lebih suka bermain seorang, malah tidak menghiraukan orang lain dan seolah-olah ada di dalam dunia sendiri.
Secara fizikalnya mereka sama seperti kanak-kanak normal tetapi berbeza daripada segi kelakuan kerana individu autisme suka melakukan sesuatu berulang kali, taksub dengan objek berputar seperti kipas dan gasing, tidak mahu bertentang mata, tidak suka disentuh, susah bekerjasama dan tidak sabar menunggu giliran.
Walaupun sesetengah kanak-kanak autisme kurang bertutur, mereka masih boleh berkomunikasi melalui renungan mata, gerak badan, ekspresi muka dan penggunaan gambar yang sesuai, kata Perunding Bebas Pendidikan Kanak-kanak Autisme, Intan Miranti.
Mendidik anak autisme adalah tugas mencabar yang menuntut banyak kesabaran dan kreativiti. Tidak hairan jika ada ibu bapa berputus asa dan menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada guru. Namun, tindakan ini kurang tepat kerana ibu bapa perlu menyambung pendekatan pengajaran yang digunakan guru di rumah.
Individu autisme menunjukkan perlakuan yang sangat berbeza dengan kanak-kanak normal. Antara ciri utama kanak-kanak autisme ialah:
- Tidak menghiraukan orang lain
- Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain
- Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap
- Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang)
- Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran
- Lebih suka bermain sendiri
- Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi
- Lambat bercakap
- Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang
- Tidak boleh berkomunikasi dengan baik
- Bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi atau bercakap macam robot
- Sukar memulakan percakapan. Kalau berbual hanya satu pihak (hanya mereka yang bercakap)
- Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya
- Kanak-kanak autisme dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan bercakap seperti orang dewasa
- Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan
- Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing dan memutar objek
- Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan
- Mempunyai pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang
- Tidak boleh duduk diam
- Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang lain (dewasa)
- Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri
- Bersikap pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan buruk
Menurut Intan, daripada ciri di atas, empat kategori memberi kesan kepada pembelajaran kanak-kanak autisme iaitu:
- Kurang tumpuan kepada persekitaran
- Sering ada dalam dunia sendiri
- Kadangkala pertuturan tidak jelas
- Sering menunjukkan tingkah laku yang menjejaskan pengajaran dan pembelajaran
“Apabila kanak-kanak mula menunjukkan ‘perangai’, semua yang hendak diajar tidak sampai. Pendekatan dulu yang menghukum anak tanpa mengambil kira punca tidak boleh digunakan kerana lama kelamaan mereka akan lali dengan hukuman. Sebaliknya, fahami apa yang cuba disampaikan anak melalui perlakuan ditunjukkan.
“Namun pendekatan ini tidak sesuai kerana kita perlu melihat punca kepada satu-satu perlakuan. Ini penting kerana kanak-kanak ini tidak pandai bergaul dan sesetengahnya lambat bercakap, jadi mereka tidak tahu bagaimana hendak memberitahu masalah atau gangguan dihadapi,” katanya ketika bengkel kesedaran autisme: menangani isu tingkah laku kanak-kanak autisme anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Antara sebab anak autisme berkelakuan negatif:
- Badan tidak selesa atau mengalami kesakitan tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak menyatakannya
- Mengelak membuat kerja (dengan cara menangguh, lari atau ‘buat perangai’)
- Keliru dengan keadaan persekitaran (mengamuk sebab tidak faham dan cemas)
- Ingin mendapat perhatian guru (kerana tidak pandai berkomunikasi. Kanak-kanak ini akan menggunakan kemahiran yang ada untuk tarik perhatian)
- Cuba mendekati atau mengenali sesuatu objek
- Cuba ‘mengambil balik’ kuasa (terutama bagi kanak-kanak lebih dewasa)
- ‘Stimming’ — perlakuan merangsang diri sendiri kepada tingkah laku berulang-ulang tanpa tujuan tertentu. Contohnya, berjalan mundar mandir, bermain dengan jari, ketawa di luar konteks, menepuk dan lain-lain
Apa yang boleh dilakukan guru?
Keadaan ini yang selalunya membingungkan ibu bapa, penjaga dan guru. Namun, kata Intan, beberapa strategi boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini iaitu:
- Mengambil guru tambahan atau sokongan di dalam bilik darjah yang mengajar kemahiran melalui perbuatan sebelum masalah bermula. Guru akan duduk bersama pelajar autisme dan membantu mengangkat tangan pelajar untuk memanggil cikgu. Ini adalah latihan untuk memberitahu pelajar bahawa itu adalah cara untuk mendapat perhatian guru ketika di dalam bilik darjah.Guru pula perlu memuji tindakan yang baik itu sebelum bertanyakan masalah pelajar. Bagaimanapun, proses ini mengambil masa untuk dilihat kesannya. Untuk lebih cepat, kaedah ini perlu diteruskan di rumah.
- Gunakan cara yang mudah difahami, contohnya gambar untuk berinteraksi atau susunan jadual. Ajar anak cara sesuai untuk meminta sesuatu dan beri pinjam barang yang dikehendaki jika mereka gunakan cara hubungan atau komunikasi yang baik. Jika tidak, dia akan kembali ke cara negatif dengan mengamuk apabila permintaannya tidak dipenuhi.
- Kenal pasti apa yang anak suka atau tidak. Pada peringkat awal, guna bantuan visual selama satu hingga dua minggu, mengikut keupayaan kanak-kanak.
- Gunakan konsep pembayang awal. Kalau mahu menghentikan sesuatu aktiviti, beri amaran bahawa ia akan ditamatkan dalam masa beberapa minit supaya kanak-kanak itu bersedia. Jangan berhenti mendadak kerana walaupun mereka tahu bercakap, kanak-kanak autisme ada masalah kenali konsep masa.
Contohnya ‘lagi lima minit kita akan tutup televisyen’ atau ‘dalam kiraan lima kita akan berhenti bermain’. Guru perlu mengira penurunan masa dengan terang supaya kanak-kanak autisme mendengarnya.
Konsep pembayang awal ini juga memberi peluang kanak-kanak autisme bersedia untuk peralihan aktiviti. Bagi kanak-kanak normal, kepelbagaian rutin akan menambah keseronokan, tapi bagi kanak-kanak autisme, perubahan rutin membuatkan mereka berasa cemas dan gelisah, terutama yang kurang faham bahasa.
Mereka lebih mudah terima perubahan jika ia sudah dijangka. Jika selepas tempoh tamat dan kanak-kanak tidak mahu melepaskan barang dipegang, guru perlu mengambilnya juga kerana jika tidak, kanak-kanak ini tidak akan faham konsep masa. Pendekatan ini perlu dilakukan secara konsisten sama ada di sekolah atau rumah. Namun jika mereka terlalu asyik main, jangan gunakan pendekatan ini kerana ia dianggap sebagai teknik ‘negatif’.
- Ajar anak buat kerja yang boleh dilakukan di rumah. Pastikan kerja dilakukan ada tujuan atau manfaat, contohnya meminta mereka membantu mengambil klip baju yang dijemur, kemas bantal atau buku. Jangan biarkan anak mempunyai terlalu banyak masa lapang.
- Konsep sakit. Ajar anak kenal anggota badan dan sayangkan badan. Ini untuk mengelak mereka mencederakan diri dan proses ini mungkin ambil masa lama untuk difahami. Bina hubungan positif dengan pelajar. Kanak-kanak autisme lebih banyak membuat hubungan mata dan bercakap ketika bermain. Jadi ini masanya anda memberitahu bahawa mereka perlu sayangkan badan sendiri.
- Beri peluang anak membuat pilihan, terutama dalam aspek kehidupan mereka. Ini termasuk urutan kerja yang diwajibkan, sama ada pilihan baju, kedai yang hendak dikunjungi atau aktiviti masa lapang.
“Ibu bapa perlu bertanya dan berbincang dengan guru mengenai pendekatan digunakan di sekolah supaya ia boleh diteruskan di rumah kerana cara ini mempercepatkan proses pembelajaran anak autisme,” katanya.
Ciri-ciri autisme
> Tidak menghiraukan orang lain
> Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain
> Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap
> Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang)
> Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran
> Lebih suka bermain sendiri
> Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi
> Lambat bercakap
> Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang
> Tidak boleh berkomunikasi dengan baik
> Bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi atau bercakap macam robot
> Sukar memulakan percakapan. Kalau berbual hanya satu pihak (hanya mereka yang bercakap)
> Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya
> Kanak-kanak autisme dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan bercakap seperti orang dewasa
> Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan
> Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing dan memutar objek
> Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan
> Mempunyai pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang
> Tidak boleh duduk diam
> Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang lain (dewasa)
> Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif
> Bersikap pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan buruk
Sumber : myMetro
Subscribe to:
Posts (Atom)
